Thursday, October 6, 2011

Mengapa perempuan menangis di Hari Pernikahan ?






Saya sering menghadiri majlis pernikahan dan persandingan rakan-rakan.  Masa itu saya masih single dah namanya single mestilah belum pernah bernikah.  Saya sering melihat mereka menangis sewaktu  bernikah.  Dalam hati saya sering terdetik iaitu perempuan mana ada tekanan, tunggu masa untuk batalkan air sembahyang buat apa nak nangis , bukan strees pun.  Masa kakak menikah pun saya pelik apa yang buat dia menangis.

Itu dulu.  Tetapi menjelang hari pernikahan saya ..............

Tiga hari sebelum hari pernikahan saya sudah merasa debaran yang pelik.  Hati saya seakan-akan sayu.  Kadang-kadang rasa macam nak menagis tak tahu punca.  Saya cari apa punca saya nak menangis.  Dengar lagu-lagu berkaitan perkahwinan saya jadi sedih sendiri.  Sebagai contoh lagu Sharifah Aini bertajuk Hari Persandingan.  Lagu ini saya post di Facebook dan sambil dengar lagu ini air mata bergenang kerana sedih dan pilu.   Punca saya sedih ,saya tidak tahu tetapi yang saya pasti itu adalah perasaan sedih yang menjadikan saya menangis....



Semasa hari pernikahan saya pada 10 September 2011.  Tatkala bersolek debaran di hati semakin kuat, tangan terasa terketar-ketar dan gabra semacam.  Pegang barang , angkat barang pun terjatuh dan serba tak kena dibuatnya.  Semasa menyarungkan baju pernikahan, saudara di luar bilik memaklumkan pengantin lelaki dan rombongannya sudah sampai.  Lebih kurang 10 minit cuaca di luar pada awalnya cerah beransur-ansur menjadi gelap dan hujan pun turun.  Masa ini hatiku jadi macam goyah dan berdebar tak tentu rasa.   Hujan ini hujan rahmat pada hematku, hujan ini hujan yang mengiringi perasaanku yang seakan tidak percaya kerana dari anak dara kepada isteri orang , dari jagaan papa dan emak ke bawah  suamiku (sememangnya tiada ikatan darah, dan kami dipertemukan atas dasar cinta dan ini namanya JODOH).  Jodoh yang begitu jauh tapi masih dalam Malaysia, aku orang Johor dan suamiku orang Penang.  Sambil melihat wajah siap disolek, berpakaian pengantin dan menunggu saat bernikah, saya memandang wajah ke dalam cermin dan melihat wajah kali terakhir sebagai anak dara yang masih berada dibawah naungan jagaan papa dan emakku yang tidak sampai berapa lama lagi saya bakal bearada dibawah naungan jagaan suami iaitu lelaki pilihan saya.

Pintu bilik diketuk.  Tok Kadi dan papaku beserta saksi iaitu bapa saudaraku masuk ke bilik.  Hati saya goyah, sayu, takut dan macam-macam lagi perasaan yang semuanya menyumbang kepada kesedihan.  Kesedihan yang mengenangkan selama 25 tahun dengan jagaan papa dan emak yang cukup sempurna jagaan dan belaiannya.  Apakah nanti pengganti papa dan emak dapat menjaga dan membelai saya sebaik mungkin ? Saya harap hingga kehujung nyawa suamiku dapat  menjaga sama taraf atau lebih baik dari jagaan papa dan emakku.  Tetapi papa dan emak adalah ibu dan bapa yang terbaik untukku.  Perkara pertama Tok Kadi bertanyakan saya  tentang nama saya dan kad pengenalan kemudian nama suami, nombor kad pengenalannya samaada betul yang saya sebut seperti yang tercatit di dalam borang.  Saya menyebut dan diiakan oleh Tok Kadi tersebut.

Kali ini debaran lebih terasa Tok kadi menuding jari telunjuk ke arahku dan menyuruh mengikutnya mengucap Dua Kalimah Syaharah.  Sewaktu aku mengikutnya mengucap Dua Kalimah Syahadat hati saya cukup tersentuh dan mengalir airmata tak henti-henti.  Tok Kadi kemudian menyuruh saya meminta maaf dengan papa atas segala kesilapan yang telah dilakukan.  Kemudian, saya bersalaman dengan papa dan memohon maaf darinya dan mencium pipi kanan dan kirinya.  Pada ketika ini saya menangis teresak-esak kerana selama 25 tahun berada dibawah jagaan papa saya banyak buat salah, melawan katanya, melanggar arahannya, mengatanya tapi papaku adalah papa terbaik untuk anak-anaknya.  Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk berterima kasih kepada papa kerana menjaga saya, mencari rezeki untuk keluarga, memberi didikan secukupnya sehingga saya dapat menggenggam segulung ijazah dan melalui hari-hari yang diharapkan selesa sepanjang usia.   Kemudian, tandatangan saya turunkan ke atas borang yang diserahkan Tok Kadi.

Mereka pun keluar.



Saya di bilik dan suami diluar dan diakad nikah oleh Tok Kadi.  Suami dapat mengakad nikah hanya sekali dan dengan mas kahwin 1 dinar emas saya sah menjadi isteri orang. Amin ya Rabbal A’lamin.


Setelah lebih kurang 20 minit menunggu di dalam bilik, saudara mara memanggilku untuk keluar kerana kini saya sudah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang saya sangat cintai.  Saya duduk disebelah suami dan kini air mata saya berjurai jatuh lagi kerana sangat sedih sekaligus gembira kerana saya sudah menjadi isteri orang.  Perkara yang membuat saya sedih ialah saya kini milik sepenuhnya lelaki yang bergelar suami.  Saya kini tidak boleh terlalu berlebih-lebih dalam banyak hal kepada papa dan emak kerana sudah ada batasan.  Saya kini  telah berpindah ke bawah jagaan suami. Saya kini bukan anak emak dan papa lagi yang perlu dibantu dalam segala hal tetapi kini saya wajib memikul tanggungjawab yang berat iaitu tanggungjawab sebagai seorang isteri.  Saya kini tidak boleh bermanja-manjaan meminta emak tolong buat itu dan ini.  Saya amat mengharapkan suami saya dapat menjaga saya sama seperti emak dan papa.  Emak dan papa adalah orang yang paling terbaik menjaga saya dari saya bayi, anak kecil, remaja, pelajar dan akhir remaja.  Mereka menjaga saya tiada cacat celanya melainkan saya sendiri yang berbuat begitu terhadap diri sendiri.



Kemudian, Tok Kadi menyuruh suami membaca lafaz taklik dan membaca penyerahan mas kahwin dan  saya membaca lafaz terima mas kahwin.  Sewaktu suami membaca ke dua-dua lafaz tersebut airmataku bercucuran tanpa henti.  Lafaz taklik yang dibacakan amat meruntun perasaan saya.  Sedih yang teramat sangat.  Antara lafaz tersebut ialah

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Sangat sedih mendengar lafaz tersebut dan saya berdoa perkara cerai tidak akan berlaku terhadap diri saya dan keluarga.

Tiba saat saya membaca lafaz terima mas kahwin , saya tidak kuat untuk membacanya kerana teramat sedih dan airmata keluar tanpa henti.  Akhirnya saya teruskan membaca dengan suara yang perlahan hingga tiada seorang yang mendengarnya.   Sedih yang amat sangat.  Kemudian Tok Kadi menyuruh saya bersalaman cium tangan suamiku dan suamiku mencium dahiku.  




Kemudian, semua tetamu berdiri dan selawat keatas Nabi dialunkan, aku salam semua hadirin wanita dan suamiku salam hadirin lelaki.  Tiba saat saya bersalaman denga emak kesayangan, air mata tidah tertahan lagi , emak menciumku dan memelukku dengan erat seakan tidak mahu aku pergi jauh darinya.  Saya sayang emak sangat-sangat.



Akhirnya majlis yang diberkati selesai.  Kini hampir sebulan saya menjadi isteri orang.   Saya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri apa adanya.  Suamiku melayanku dengan sangat baik dan harap-harap saya juga pandai mengambil hati dan melayannya dengan baik.  Doakan kebahagiaan kami kepada sesiapa yang membaca kisah saya.   Percayalah jika anda pernah melalui saat indah dinikahkan menjadi suri dihati orang yang anda cintai, pasti saat itu anda menitiskan airmata.  Bagi yang belum pernah dinikahkan atau menjadi isteri orang , nescaya suatu hari nanti perasaan pada hari pernikahan yang saya lalui sama dengan apa yang bakal anda lalui.

Doakan kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kami.

Menarik kata - kata ini :  Mengapa wanita sering menangis ?
 
Kerana wanita itu unik.
Aku ciptakannya sebagai makhluk istimewa,
Ku kuatkan bahunya untuk menjaga anak-anaknya,
Ku lembutkan hatinya untuk memberi rasa aman,
Ku kuatkan rahimnya untuk menyimpan benih manusia,
Ku teguhkan peribadinya untuk terus berjuang pada saat yang lain menyerah,
Ku berikannya naluri untuk mencintai anak-anak dalam apa jua keadaan sekalipun,
Ku kuatkan batinnya untuk tetap menyayangi walau dikhianati oleh teman,
Walau disakiti oleh “orang” yang dia sayangi..
Wanita makhluk kuat,
Tetapi jika satu saat dia menangis itu kerana Ku berikannya air mata untuk membasuh luka batin dan memberi kekuatan baru.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...