Thursday, October 6, 2011

Genius Apple iaitu Steve Jobs mati akibat kanser

 Ajal maut ditangan tuhan.  Secanggih mana pun seseorang itu dan sehandal mana teknologi yang dicipta, mereka tidak dapat melawan takdir tuhan.  Yang pasti 2 perkara manusia tidak dapat elak dan mencari ubat iaitu mati dan menjadi tua.

Steve Job mati akibat kanser.  Mendiang dilahirkan pada tahun 24 Febuari 1955 di Francicso  dan mati pada 6 Oktober 200 (Rabu).   Pengasas bersama dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif syarikat komputer gergasi, Apple Incorporated, Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun.

Pengumuman dibuat Apple menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan lewat semalam, waktu tempatan. Namun tidak dinyatakan punca sebenar kematian.  Kematian Jobs menyusul selepas syarikatnya melancarkan rangkaian iPhone terbaru, versi 4S di Cupertino, California.

Jobs sebelum ini menderita barah pankreas pada 2004 dan pernah melakukan pemindahan hati pada 2009.   Mendiang sebelum ini  beberapa kali mengambil cuti disebabkan masalah kesihatan sebelum melepaskan jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Apple, enam minggu lalu.

Jawatan itu kemudian diambil alih, Tim Cook.  Ikon Silicon Valley itu  bertanggungjawab  memperkenalkan revolusi rangkaian gajet elektronik yang menarik perhatian dunia menerusi ciptaan pintar seperti iPhone, iPad dan iPod.

Mengapa perempuan menangis di Hari Pernikahan ?






Saya sering menghadiri majlis pernikahan dan persandingan rakan-rakan.  Masa itu saya masih single dah namanya single mestilah belum pernah bernikah.  Saya sering melihat mereka menangis sewaktu  bernikah.  Dalam hati saya sering terdetik iaitu perempuan mana ada tekanan, tunggu masa untuk batalkan air sembahyang buat apa nak nangis , bukan strees pun.  Masa kakak menikah pun saya pelik apa yang buat dia menangis.

Itu dulu.  Tetapi menjelang hari pernikahan saya ..............

Tiga hari sebelum hari pernikahan saya sudah merasa debaran yang pelik.  Hati saya seakan-akan sayu.  Kadang-kadang rasa macam nak menagis tak tahu punca.  Saya cari apa punca saya nak menangis.  Dengar lagu-lagu berkaitan perkahwinan saya jadi sedih sendiri.  Sebagai contoh lagu Sharifah Aini bertajuk Hari Persandingan.  Lagu ini saya post di Facebook dan sambil dengar lagu ini air mata bergenang kerana sedih dan pilu.   Punca saya sedih ,saya tidak tahu tetapi yang saya pasti itu adalah perasaan sedih yang menjadikan saya menangis....



Semasa hari pernikahan saya pada 10 September 2011.  Tatkala bersolek debaran di hati semakin kuat, tangan terasa terketar-ketar dan gabra semacam.  Pegang barang , angkat barang pun terjatuh dan serba tak kena dibuatnya.  Semasa menyarungkan baju pernikahan, saudara di luar bilik memaklumkan pengantin lelaki dan rombongannya sudah sampai.  Lebih kurang 10 minit cuaca di luar pada awalnya cerah beransur-ansur menjadi gelap dan hujan pun turun.  Masa ini hatiku jadi macam goyah dan berdebar tak tentu rasa.   Hujan ini hujan rahmat pada hematku, hujan ini hujan yang mengiringi perasaanku yang seakan tidak percaya kerana dari anak dara kepada isteri orang , dari jagaan papa dan emak ke bawah  suamiku (sememangnya tiada ikatan darah, dan kami dipertemukan atas dasar cinta dan ini namanya JODOH).  Jodoh yang begitu jauh tapi masih dalam Malaysia, aku orang Johor dan suamiku orang Penang.  Sambil melihat wajah siap disolek, berpakaian pengantin dan menunggu saat bernikah, saya memandang wajah ke dalam cermin dan melihat wajah kali terakhir sebagai anak dara yang masih berada dibawah naungan jagaan papa dan emakku yang tidak sampai berapa lama lagi saya bakal bearada dibawah naungan jagaan suami iaitu lelaki pilihan saya.

Pintu bilik diketuk.  Tok Kadi dan papaku beserta saksi iaitu bapa saudaraku masuk ke bilik.  Hati saya goyah, sayu, takut dan macam-macam lagi perasaan yang semuanya menyumbang kepada kesedihan.  Kesedihan yang mengenangkan selama 25 tahun dengan jagaan papa dan emak yang cukup sempurna jagaan dan belaiannya.  Apakah nanti pengganti papa dan emak dapat menjaga dan membelai saya sebaik mungkin ? Saya harap hingga kehujung nyawa suamiku dapat  menjaga sama taraf atau lebih baik dari jagaan papa dan emakku.  Tetapi papa dan emak adalah ibu dan bapa yang terbaik untukku.  Perkara pertama Tok Kadi bertanyakan saya  tentang nama saya dan kad pengenalan kemudian nama suami, nombor kad pengenalannya samaada betul yang saya sebut seperti yang tercatit di dalam borang.  Saya menyebut dan diiakan oleh Tok Kadi tersebut.

Kali ini debaran lebih terasa Tok kadi menuding jari telunjuk ke arahku dan menyuruh mengikutnya mengucap Dua Kalimah Syaharah.  Sewaktu aku mengikutnya mengucap Dua Kalimah Syahadat hati saya cukup tersentuh dan mengalir airmata tak henti-henti.  Tok Kadi kemudian menyuruh saya meminta maaf dengan papa atas segala kesilapan yang telah dilakukan.  Kemudian, saya bersalaman dengan papa dan memohon maaf darinya dan mencium pipi kanan dan kirinya.  Pada ketika ini saya menangis teresak-esak kerana selama 25 tahun berada dibawah jagaan papa saya banyak buat salah, melawan katanya, melanggar arahannya, mengatanya tapi papaku adalah papa terbaik untuk anak-anaknya.  Tiada bahasa yang dapat diucapkan untuk berterima kasih kepada papa kerana menjaga saya, mencari rezeki untuk keluarga, memberi didikan secukupnya sehingga saya dapat menggenggam segulung ijazah dan melalui hari-hari yang diharapkan selesa sepanjang usia.   Kemudian, tandatangan saya turunkan ke atas borang yang diserahkan Tok Kadi.

Mereka pun keluar.



Saya di bilik dan suami diluar dan diakad nikah oleh Tok Kadi.  Suami dapat mengakad nikah hanya sekali dan dengan mas kahwin 1 dinar emas saya sah menjadi isteri orang. Amin ya Rabbal A’lamin.


Setelah lebih kurang 20 minit menunggu di dalam bilik, saudara mara memanggilku untuk keluar kerana kini saya sudah menjadi isteri kepada seorang lelaki yang saya sangat cintai.  Saya duduk disebelah suami dan kini air mata saya berjurai jatuh lagi kerana sangat sedih sekaligus gembira kerana saya sudah menjadi isteri orang.  Perkara yang membuat saya sedih ialah saya kini milik sepenuhnya lelaki yang bergelar suami.  Saya kini tidak boleh terlalu berlebih-lebih dalam banyak hal kepada papa dan emak kerana sudah ada batasan.  Saya kini  telah berpindah ke bawah jagaan suami. Saya kini bukan anak emak dan papa lagi yang perlu dibantu dalam segala hal tetapi kini saya wajib memikul tanggungjawab yang berat iaitu tanggungjawab sebagai seorang isteri.  Saya kini tidak boleh bermanja-manjaan meminta emak tolong buat itu dan ini.  Saya amat mengharapkan suami saya dapat menjaga saya sama seperti emak dan papa.  Emak dan papa adalah orang yang paling terbaik menjaga saya dari saya bayi, anak kecil, remaja, pelajar dan akhir remaja.  Mereka menjaga saya tiada cacat celanya melainkan saya sendiri yang berbuat begitu terhadap diri sendiri.



Kemudian, Tok Kadi menyuruh suami membaca lafaz taklik dan membaca penyerahan mas kahwin dan  saya membaca lafaz terima mas kahwin.  Sewaktu suami membaca ke dua-dua lafaz tersebut airmataku bercucuran tanpa henti.  Lafaz taklik yang dibacakan amat meruntun perasaan saya.  Sedih yang teramat sangat.  Antara lafaz tersebut ialah

“Saya mengaku apabila saya tinggalkan isteri saya (nama isteri) selama empat bulan hijrah berturut-turut atau lebih dengan sengaja atau paksaan, dan saya atau wakil saya tiada memberi nafkah kepadanya selama tempoh yang tersebut pada hal ia taatkan saya atau saya melakukan sebarang mudarat kepada tubuh badannya, kemudian ia mengadu kepada mahkamah syariah, dan apabila sabit aduannya di sisi mahkamah syariah, dan ia memberi kepada Mahkamah Syariah, yang menerima bagi pihak saya satu ringgit maka pada ketika itu tertalak ia dengan cara talak khuluk.”

Sangat sedih mendengar lafaz tersebut dan saya berdoa perkara cerai tidak akan berlaku terhadap diri saya dan keluarga.

Tiba saat saya membaca lafaz terima mas kahwin , saya tidak kuat untuk membacanya kerana teramat sedih dan airmata keluar tanpa henti.  Akhirnya saya teruskan membaca dengan suara yang perlahan hingga tiada seorang yang mendengarnya.   Sedih yang amat sangat.  Kemudian Tok Kadi menyuruh saya bersalaman cium tangan suamiku dan suamiku mencium dahiku.  




Kemudian, semua tetamu berdiri dan selawat keatas Nabi dialunkan, aku salam semua hadirin wanita dan suamiku salam hadirin lelaki.  Tiba saat saya bersalaman denga emak kesayangan, air mata tidah tertahan lagi , emak menciumku dan memelukku dengan erat seakan tidak mahu aku pergi jauh darinya.  Saya sayang emak sangat-sangat.



Akhirnya majlis yang diberkati selesai.  Kini hampir sebulan saya menjadi isteri orang.   Saya menjalani kehidupan sebagai seorang isteri apa adanya.  Suamiku melayanku dengan sangat baik dan harap-harap saya juga pandai mengambil hati dan melayannya dengan baik.  Doakan kebahagiaan kami kepada sesiapa yang membaca kisah saya.   Percayalah jika anda pernah melalui saat indah dinikahkan menjadi suri dihati orang yang anda cintai, pasti saat itu anda menitiskan airmata.  Bagi yang belum pernah dinikahkan atau menjadi isteri orang , nescaya suatu hari nanti perasaan pada hari pernikahan yang saya lalui sama dengan apa yang bakal anda lalui.

Doakan kebahagiaan dan kerukunan rumahtangga kami.

Menarik kata - kata ini :  Mengapa wanita sering menangis ?
 
Kerana wanita itu unik.
Aku ciptakannya sebagai makhluk istimewa,
Ku kuatkan bahunya untuk menjaga anak-anaknya,
Ku lembutkan hatinya untuk memberi rasa aman,
Ku kuatkan rahimnya untuk menyimpan benih manusia,
Ku teguhkan peribadinya untuk terus berjuang pada saat yang lain menyerah,
Ku berikannya naluri untuk mencintai anak-anak dalam apa jua keadaan sekalipun,
Ku kuatkan batinnya untuk tetap menyayangi walau dikhianati oleh teman,
Walau disakiti oleh “orang” yang dia sayangi..
Wanita makhluk kuat,
Tetapi jika satu saat dia menangis itu kerana Ku berikannya air mata untuk membasuh luka batin dan memberi kekuatan baru.

Gaji Sektor Awam naik sehingga 40 peratus - Belanjawan 2012

KUALA LUMPUR, 30 Sept — Putrajaya dijangka memperkenalkan sistem saraan baru sektor awam, menggantikan 
 Sistem Saraan Malaysia (SSM) — antara lain menawarkan skim gaji satu lapis atau peringkat — yang bakal 
 membawa kenaikan gaji sehingga 40 peratus.


Sistem saraan yang namanya masih dirahsiakan dijangka diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2012 — yang ramai melihatnya sebagai “bajet pilihan raya umum ke-13”.
Kerajaan bercadang untuk melaksanakan mulai 1 Januari 2012 bersama sistem penilaian baru, yang dikenali sebagai Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (Prospek).


“Difahamkan agensi-agensi kerajaan sudah melengkapkan kajian memperkenalkan sistem saraan yang baru, bukan pelarasan tetapi satu sistem yang baru, skim gaji satu lapis yang pernah digunakan sebelum SSB,” kata sumber kepada The Malaysian Insider.  Di bawah sistem satu lapis bilangan tangga gaji juga akan ditambah sampai 25 hingga 30 dan kemungkinan lebih dalam gred tertentu.


Minggu lalu, The Malaysia Insider membawa laporan bahawa kerajaan kemungkinan akan menaikkan gaji kakitangan awam dan membayar bonus menerusi bajet kali sebelum menghadapi pilihan raya umum.
Kali terakhir kerajaan meluluskan pelarasan adalah pada 2007 iaitu sehingga 35 peratus dan menaikkan kadar bantuan sara hidup sebanyak 100 peratus.

Bulan lalu, kerajaan membayar bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam. 
 Kerajaan juga bersetuju memberi bayaran khas sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.
Satu sumber berkata, “langkah ini (memperkenalkan sistem saraan baru) juga satu bentuk kenaikan gaji tetapi pelaksanaan menjangkaui kenaikan gaji sebab ia akan membabitkan penyusunan semula skim dan gred.”
“Tindakan paling signifikan ialah memperkenalkan sistem gaji satu peringkat,” kata beliau yang turut merujuk kepada permintaan Cuepacs pada 1995, mendesak kerajaan memperkenalkan semula sistem gaji satu lapis dengan memansuhkan SSB.


Bagaimanapun tuntutan itu tidak dilayan dan kerajaan hanya memberi pelarasan gaji ketika itu.
“Cuepacs juga sebenarnya telah berharap sistem gaji satu lapis akan diperkenalkan semula pada 2002 (ketika SSM diperkenalkan), tetapi tidak menjadi kenyataan.
“Jika ia diperkenalkan semula bermakna ia akan membawa faedah besar kepada kakitangan awam ... kenaikan kemungkinan boleh sampai RM300 hingga RM700, bergantung pada skim dan gred masing-masing,” kata sumber itu sambil menambah, maklumat ini benar sehingga semalam dan kemungkinan boleh berubah mengambil kira keadaan ekonomi global dan tempatan.


“Kalau dari segi peratusan, kita boleh katakan kenaikan ini antara lapan hingga 30 peratus, mungkin dalam kes gred tertentu boleh mencapai 40 peratus,” kata sumber itu lagi.
Satu lagi perubahan di bawah sistem saraan baru ini ialah langkah kerajaan menyatukan Kumpulan Sokongan I dan II iaitu perkhidmatan kumpulan rendah di bawah satu grup yang bahawa dikenali sebagai Kumpulan Pelaksana. Nama Kumpulan Pengurusan dan Profesional dijangka akan dikekalkan.
SSM diperkenalkan pada 2002 menggantikan Sistem Saraan Baru (SSB) yang mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan kakitangan awam.


SSM terdiri daripada sistem gaji tiga lapis dengan kenaikan tahunan secara mendatar, menegak atau melintang dengan masing-masing mempunyai kuota.
Sistem kuota itu yang mencetuskan rasa tidak puas hati dan dakwaan wujud diskriminasi dalam proses penilaian prestasi. Proses penilaian itu kemudian digantikan dengan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan sekali lagi membawa kepada kontroversi.


The Malaysian Insider difahamkan sistem saraan ini, yang mirip dari segi sistem gaji satu lapis yang digunakan sejak negara merdeka sehingga 1991.
Awal bulan ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memberi jaminan bahawa Prospek, sistem baru menggantikan PTK, akan membuka lebih peluang kepada penjawat awam untuk mendapat kenaikan pangkat.
Penjawat awam yang mempunyai kompetensi dan memiliki potensi iaitu melepasi syarat untuk lulus dan melepasi tahap potensi yang telah diukur oleh panel penilai dijamin memperolehi ganjaran.


Prospek yang diperkenalkan Mei lalu hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari ini.
Mei lalu, JPA mengumumkan Prospek sebagai pengganti PTK berkuat kuasa 1 Julai lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi akan ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa.
Ia membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

Sumber  : Yahoo  oleh  G Manimaran
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...