![]() | |
Artikel ini ditulis oleh Nurul Izzah Anwar, Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap Naib Presiden KEADILAN |
KEADILAN memandang serius kenyataan PM Najib bahawasanya kesemua
112,634 peneroka di 317 tanah rancangan FELDA dan 22,468 pekerja FELDA
akan mendapat durian runtuh terbesar yang mereka tidak pernah impikan
sehingga mereka akan “tersandar, rebah dalam kejutan” hasil tawaran awam
permulaan atau “initial public offering” (IPO) FELDA Global Venture
Holdings (FGVH) yang dijangka selesai penyenaraiannya di Bursa Malaysia
pada lewat Mei atau awal Jun 2012.
2. Dengan “gula-gula” pilihanraya semanis ini, kami menjangkakan para
peneroka dan pekerja FELDA akan menerima saham FGVH secara percuma di
samping sejumlah wang tunai sagu hati insentif penyenaraian tersebut.
3. Malangnya, jangkaan tersebut ternyata meleset kerana menurut sumber yang boleh dipercayai, para peneroka dan pekerja FELDA tidak akan menerima saham percuma atau wang tunai insentif penyenaraian.
4. Sebaliknya, KEADILAN difahamkan bahawa:
4.1 Para peneroka dan pekerja FELDA diwajibkan membuat pinjaman dengan beberapa bank terpilih
untuk membeli saham FGVH meskipun segelintir daripada mereka mungkin
mempunyai simpanan untuk membiayai permohonan membeli saham IPO tersebut
4.2 Walaupun margin pinjaman adalah 100%, tempoh pinjaman adalah untuk 6 bulan sahaja
yakni para peneroka dan pekerja terpaksa membayar balik keseluruhan
pinjaman dengan simpanan sendiri semasa menerima borang merah jambu/biru
ATAUPUN menggunakan hasil jualan saham FGVH di pasaran terbuka nanti
untuk membiayai pembayaran balik pinjaman sebelum atau pada tamat tempoh
6 bulan
4.3 Walaupun “stamping fee” diketepikan, para peneroka dan pekerja FELDA masih perlu membayar kepada bank fi dan caj
sebanyak RM200 apabila pinjaman dengan rasminya dikeluarkan atau RM100
sebagai rebat jika pinjaman dilunaskan awal semasa borang merah jambu
(bagi pekerja) atau biru (bagi peneroka) diterima
4.4 Kadar faedah “daily rest” pada paras 5% setahun yakni lebih 2.5 kali ganda kadar faedah pinjaman mudah bagi National Feedlot Centre (NFC) pada paras 2%
5. Jelas sekali apa yang disifatkan oleh PM Najib sebagai “lonjakan
berganda” ini sebenarnya lebih cenderung ke arah membuka peluang niaga
baharu dan memberi kesempatan kepada institusi kewangan terbabit
mendapat hasil atas titik-peluh dan keringat peneroka dan pekerja FELDA,
terutamanya 5 bank pelaburan yang dilantik menyelenggara kesemua
perkara berkaitan penyenaraian, 7 bank yang dipilih untuk memberi
pinjaman membiayai pembelian saham, dan beberapa syarikat pembrokeran
saham yang dilantik untuk menjalankan urusniaga jual-beli saham di
pasaran terbuka. Yang paling ketara adalah bil yuran dan caj
tinggi yang perlu ditanggung oleh FGVH atas khidmat nasihat dan
pengurusan gerak-kerja penyenaraian oleh 2 bank pelaburan
domestik dan 3 asing iaitu Maybank Investment, CIMB Investment, Morgan
Stanley, JP Morgan dan Deutsche Bank ke atas FGVH.
6. Malah, pendekatan sebegini juga akan menyebabkan kecairan pada pegangan ekuiti Bumiputera dalam FGVH
seusai peneroka dan pekerja FELDA menjual saham mereka di pasaran
terbuka untuk melunaskan hutang kepada bank. Walaupun KPF dijangka akan
kekal sebagai pemegang saham terbesar di samping Permodalan Nasional
Berhad (PNB), Tabung Haji dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)
manakala syarikat asing hanya ditawarkan sebahagian kecil saham dalam
IPO FGVH, tiada apa yang menghalang mana-mana pelabur (Bumiputera dan
bukan Bumiputera) dari membeli saham FGVH di pasaran terbuka.
7. Lebih malang adalah nasib anak peneroka daripada generasi kedua
dan ketiga setelah harapan mereka untuk menjadi peneroka baharu dengan
mengusahakan tanah ladang kelapa sawit seluas 360,067 hektar tanpa
peneroka milik FELDA Plantations Sdn Bhd berkecai kerana telah dicagar
kepada FGVH selama 99 tahun bagi tujuan penyenaraian.
8. KEADILAN menggesa agar PM Najib menghentikan “umpan undi” atau
“rasuah politik” seumpama ini dengan serta-merta, dan menerangkan kepada
umum perangkap yang tersirat di sebalik ‘durian runtuh’ ini. PM wajib
menjawab kepada setiap satu mekanisme di atas bagi meleraikan
kebimbangan ramai, lantas benar-benar memberi fokus yang sewajarnya atas
hak dan kepentingan mereka yang kurang bernasib baik!
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN
Ahli Parlimen Lembah Pantai, merangkap
Naib Presiden KEADILAN
Sumber : Keadilan Daily
No comments:
Post a Comment