Monday, April 30, 2012

Bank tawar saham FGVH, Peneroka Jangan Tertipu

Harakahdaily, 27 Apr 2012
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) menasihatkan para peneroka di seluruh negara tidak tertipu dengan 'durian runtuh' melalui borang tawaran saham Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) yang sedang diagihkan.

Pengerusinya Mazlan Aliman berkata, borang tersebut sedang diagihkan di seluruh tanah rancangan Felda di seluruh negara sejak beberapa hari lalu.

Menurutnya lagi, borang tawaran saham itu dikeluarkan oleh institusi perbankan dengan menawarkan kononya saham durian runtuh dari RM50,000 hingga RM300,000.

"Borang tersebut lebih daripada 60 muka surat dan dalam bahasa Inggeris, kononnya mereka dapat saham padahal ianya adalah pinjaman dan resikonya sangat tinggi.

"Malangnya peneroka dipaksa menandatangan tanpa diberi taklimat dan kefahaman tentang resiko yang bakal dihadapi sekiranya penyenaraian mengalami kegagalan," kata Mazlan kepada Harakahdaily.

Borang-borang terebut juga ujar Mazlan, diagihkan di balai-balai raya dan pejabat Felda di mana peneroka tidak dibenar membawa pulang borang tersebut dan perlu menandatanganinya disitu serta merta walaupun tidak faham apa resiko perjanjian.

Malah ujarnya ada berlaku kes di mana anak kepada peneroka pun tidak dibenar mengambil borang tersebut malah ada yang dihalau.

Beliau difahamkan, sekiranya penyenaraian gagal, peneroka akan menanggung hutang dengan bank dan pihak bank pula berhak dengan apa cara sekalipun berhak mendapatkan gantirugi.

Malah apa yang paling dikhuatirinya, ianya bakal mengulangi apa yang berlaku kepada Amanah Saham Johor satu masa dahulu.

Pada awalnya dijual dengan harga RM1 seunit kemudian turun sehingga 11 sen seunit sehingga ramai pemilik saham itu di Johor ini kini diisytihar muflis.

"Secara logiknya, bank tidak akan bagi pinjaman kalau tidak ada benda bernilai dari peneroka yang boleh dicagarkan kepada mereka. Apa lagi yang paling bernilai pada peneroka selain 10 ekar tanah mereka?

"Pada saya, ini satu penipuan terang-terangan dilakukan dengan memperalatkan institusi perbankan untuk menipu peneroka bagi dapatkan dana pilihan raya," kata Mazlan.

Sehubungan itu beliau turut menasihatkan para peneroka memahami kandungan perjanjian tersebut sebelum menandatangan.

"Kita tidak menolak kemungkinan akan membuat permohonan di mahkamah untuk menghentikan tindakan ini, dan kita juga akan buat laporan polis," katanya.

Sumber : Harakah Daily

P/S  : Apa yang saya paham tentang pinjaman untuk pembiayaan pembelian saham di FGVH ni ialah jumlah pinjaman adalah besar, tempoh bayaran adalah singkat dan bunga dari pinjaman adalah tinggi.

Walau apa pun bagi Peneroka yang banyak wang dan mampu membayar pinjaman beserta bunga nya tidak dilarang untuk membuat pinjaman dan melaburkan wang di saham FGVH.

Tepuk dada tanya selera.  Ikur rasa binasa, Ikut hati mati.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...