Sunday, July 29, 2012

(2012) Duit Raya Peneroka FELDA RM400




SIK 29 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemberian duit raya berjumlah RM43.2 juta kepada 112,635 peneroka Felda di seluruh negara.
Perdana Menteri berkata, pemberian itu bertujuan menghargai sumbangan warga peneroka kepada pembangunan Felda serta membantu membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Beliau berkata, pemberian itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peneroka bersama Felda dan peneroka yang tidak bersama Felda sebagaimana kaedah yang sama pada 2011.


"Seramai 103,597 orang atau 91.9 peratus peneroka Felda akan menerima RM400 seorang dan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM41.1 juta.
"Seramai 9,038 orang pula atau 8.02 peratus peneroka yang tidak bersama Felda turut menerima RM200 seorang melibatkan peruntukan berjumlah RM1.8 juta," katanya ketika berucap pada Program Rahmat Ramadan Warga Felda 2012 di Sekolah Kebangsaan Beris Jaya, di sini hari ini.


Menurut Najib, pemberian duit raya kepada peneroka telah dilaksanakan sejak 2003 dan bayaran pada tahun ini bertambah sebanyak RM0.6 juta atau 1.39 peratus berbanding 2011 iaitu sebanyak RM42.6 juta.
Katanya, pemberian duit raya itu diharap dapat meringankan beban kewangan dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
Tambah beliau, bayaran akan dibuat kepada semua peneroka dalam minggu kedua bulan Ramadan dan dibayar di peringkat rancangan Felda di seluruh negara.


Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan bantuan program kerohanian kepada semua masjid di tanah rancangan Felda iaitu bagi program Ihya Ramadan sebanyak RM951,000, sagu hati kepada jawatankuasa masjid (RM792,000) dan program Ihya Ramadan Kawasan Parlimen Felda (RM540,000).
Selain itu, Najib turut memberi duit raya kepada wilayah Alor Setar berjumlah RM1.58 juta dan durian runtuh kepada penerokawati wilayah tersebut sebanyak RM20.2 juta.

posted from Bloggeroid
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...